Tajuk buku : Orang Miskin dilarang sekolah
Penulis : Wiwid Prasetyo
Keluaran : Global Aksara Communication Sdn. Bhd.
Halaman : 580 m/s
Penulis : Wiwid Prasetyo
Keluaran : Global Aksara Communication Sdn. Bhd.
Halaman : 580 m/s
Ulasan Ain Sabrina :
Dari tajuk , sudah dapat kita imbas serba sedikit kisah dalam halaman buku ini. Kisah dimulakan dengan watak ‘aku’ , anak muda bernama Faisal , yang sudah di kelas tahun 3 di SR Kartini. Dia anak dari keluarga sederhana yang berkesempatan untuk ke sekolah. Dan dengan ilmu yang baru hijau itu , dia berimpian mengajak sahabat-sahabat yang tinggal di lading lembu untuk turut sama bersekolah. Namun jalannya tidak mudah. Mereka , Pambudi , Pepeng dan Yudi, anak miskin yang hidupnya kais pagi makan pagi , kais petang makan petang.
Namun hati anak miskin ini dahagakan ilmu. Lalu mereka berusaha ke arah itu. Memujuk dan menyakinkan ibu dan ayah mereka dan mereka sendiri menampung perbelanjaan sekolah mereka. Walaupun miskin , akhirnya mereka berupaya sekolah , dengan baju yang lusuh dah terkoyak di celah ketiak, bergalaskan beg guni, beralaskan selipar getah yang kaki nya penuh dengan debu lumpur. Lantas mereka seringkali di pandang hina di kelas mereka. Namun tidak semua begitu, ada yang menolong , namanya Kania, gadis cilik molek yang menarik hati muda mereka.
Turut sama diselitkan dalam novel ini , kisah penduduk-penduduk di Kampung Faisal , masih mundur dan masih percaya pada bomoh dan pawang yang hanyalah tiruan semata-mata. Juga dikisahkan tentang Faisal menjadi guru muda buat penduduk-penduduk tua di kampungnya , dia mengajar mereka mengira dan membaca.
Diakhirkan cerita dengan kisah perjuangan dan usaha gigih mereka untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun. Dan ternyata ‘ happy ending’ apabila Faisal terpilih sebagai pelajar cemerlang. Namun pengakhiran sebenar bukan di situ kerana banyak lagi yang perlu ditempuh pelajar-pelajar SK Kartini secara amnya dan secara khusunya buat 4 sekawan ini , Faisal, Yudi , Pambudi dan Pepeng.
Komen Ain Sabrina :
Novel ini saya beli di saat motivasi belajar saya agak rendah. Saya tertekan dengan diri sendiri yang asyik malas jadi saya berkeputusan untuk ‘ambil angin’ di kedai buku Popular di KB Mall. Terpandang buku ini dan tajuknya , saya dapatkan rasakan buku ini boleh menaikkan semangat belajar saya dan dalam masa yang sama mensyukuri nikmat ‘dapat belajar’ yang saya ada.
Watak Faisal patut dipuji. Disaat dia bersahabat dengan Yudi , Pepeng dan Pambudi, dia tidak terpengaruh dengan mereka malah dia yang mempengaruhi mereka. Budak-budak , semangat bermainnya kadang-kadang lebih tinggi dari semangat belajar , namun berbeza bagi Faisal malahan dia berjaya pula mengajak sahabat yang lain untuk turut belajar. Semangatnya itu bukan hanya pada sahabatnya, juga turut pada penduduk kampung , sehinggakan dia sanggup menawarkan diri menjadi pengajar buat penduduk kampung.
Watak Pambudi , Yudi , Pepeng dan Kania juga perlu dipuji. Walaupun susah , pagi perlu bekerja kemudian ke sekolah , baliknya kembali bekerja, namun mereka tegar demi mencari sesuap ilmu. Semangat mereka mencari ilmu membuatkan saya sebagai pembaca termalu sendiri. Peluang belajar sudah ada di depan mata , duit tidak perlu berusaha atau meminta-minta kerana biasiswa sudah diberi kerajaan , jadi apa lagi masalahnya – hanya kuatkan tekad , belajar dan belajar. Namun saya ini , asyik melayan emosi dan rasa malas sahaja. Kecewa dengan diri sendiri pabila melihat semangat anak-anak miskin ini.
Dan kita sebagai rakyat Malaysia amnya patutnya bersyukur kerana keadaan kita tidak seteruk keadaan negara jiran. Majoriti anak-anak Malaysia semuanya bersekolah , paling kurang bersekolah hingga ke sekolah rendah. Namun kenapa kita masih leka , masih tidak berusaha. Di saat rasa malas menyelubungi , kita patut muhasabah diri kembali , syukuri nikmat diberi dan teruskan berusaha.
Dan saya suka falsafah yang diterapkan dalam novel ini :
“ Jangan takut untuk berimpian besar kerana orang yang tidak punya impian bererti tidak punya cita-cita dan masa depan “
0 pengomen:
Post a Comment