Tuesday, August 16, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (18) Baju Pengantin Mak Andam





Tajuk buku : Baju Pengantin Mak Andam
Penulis : Areila Sahimi
Keluaran : Kaki Novel
Halaman : 524  m/s

Ulasan Ain Sabrina : 

Aleeya dan Zain, mereka terjumpa di satu majlis perkahwinan. Saat itu, Aleeya terpaksa menjadi Mak Andam menganti tempat Kak Ana. Awalnya, mereka asyik bertingkah. Ada saja yang tak kena. Namun itu yang menarik hati Zain untuk berkawan dengan Aleeya. Aleeya pun menyambut huluran persahabatan. Mereka berkawan, SMS , chatting juga kadang-kadang makan bersama di kedai mapley.

Dari sembang-sembang kosong, Zain mula berani meluah rasa. Zain kata rindu dan juga kata cinta. Aleeya pula taktahu apa kata hati. Lalu mereka bersetuju talian persahabatan mesti diteruskan . Dari fasa kawan biasa mula naik pangkat ke teman tapi mesra. Hinggakan Aleeya berkongsi kisah dukanya dengan kekasih lamanya, Azizul pada Zain. Zain selamba memberi nasihat dan mengembirakan kembali Aleeya.

Tak lama selepas itu, Zain terpaksa bekerja luar jauh nun di Langkawi. Saat itu ada rasa rindu yang bertamu antara mereka. Hanya Zain yang berani meluahkan rindu sedangkan Aleeya memendam rasa rindu yang ada. Sehinggakan ada satu salah faham berlaku. Zain terasa dipermainkan. Sedangkan pada saat itu kasih Aleeya hanya buat Zain, namun rasa itu lambat diluahkan lalu Zain bersangka dia bertepuk sebelah tangan.

Aleeya cuba membetulkan keadaan namun Zain masih dengan salah fahamnya. Terasa seperti perhubungan ini tak dapat diselamatkan lalu sepi menyelubungi hubungan mereka berdua. Dari mesra yang amat berubah ke terputus hubungan. 2 tahun tanpa kata, akhirnya Zain kembali muncul di hadapan Aleeya. Namun sekali lagi salah faham timbul. Apakah penyelesaiannya? Atau mereka memerlukan bantuan yang lain untuk menyelesaikan simpulan hubungan rumit mereka ini?

Komen Ain Sabrina :

Ini novel pertama Areila Sahimi yang saya baca. Selepas baca buku ini , saya rasa saya suka cara penulisan Areila Sahimi yang selamba, baru saya terniat beli buku kedua Areila Sahimi yang bertajuk Iman Suraya.

Seperti watak Suraya dalam Iman Suraya, watak Aleeya ini juga watak ‘happy go lucky’ dan selamba yang amat. Membaca gaya dan bahasa Aleeya boleh buat saya tersengih memanjang. Watak Zain tak kurangnya, juga selamba yang amat. Mungkin disebabkan dua watak utama ini seakan ada keserasian, mereka boleh berkawan dan berkongsi macam-macam.

Kisah mereka mudah. Berkenalan, bersahabat sehinggalah berkongsi rasa, ternyata tiada unsur dongeng di situ. Ia bagaikan kisah kita dan orang sekeliling kita.

Ada juga diselitkan kisah Aleeya dan kekasih lamanya, Azizul. Watak Azizul yang dari awal diburukkan wataknya membuatkan kita tidak teragak-agak memilih watak Zain sebagai jejaka pilihan buat Aleeya.

Watak Zain, watak lelaki idaman. Dikisahkan walaupun watak Aleeya, watak wanita biasa namun bagi Zain, Aleeya tetap istimewa. Ibarat kata-katanya yang dipetik dari muka depan novel ini-
“Biarpun dia serabut, dia kusut, dia jiwa kacau, dia suka teh tarik mamak sekalipun, pada aku dia tetap teristimewa” –Zain-
Mudah bagi seorang wanita, bila lelaki yang dia sayang turut sayang pada dia seadanya, hati wanita itu sudah cukup terisi.

Dan yang menariknya lagi watak Aleeya walaupun selamba masih ada adat ketimurannya lagi. Berkawan tapi masih menjaga adat dan tata susilanya sebagai wanita melayu. Bak katanya
“ Zain, sekeras-keras aku, Zain, aku masih seorang perempuan. Yang tahu rasa malu bila tiba bab nak luahkan isi hati.” –Aleeya-

Kisahnya mudah namun watak-wataknya dalam kisah ini buatkan saya terus membaca dalam senyuman. ^^

0 pengomen:


ainsabrina mencabar dirinya sendiri.
Related Posts with Thumbnails