Tuesday, August 16, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (19) Soalnya Hati





Tajuk buku : Soalnya Hati
Penulis : Nurul Syahida
Keluaran : buku prima
Halaman : 339  m/s


Ulasan Ain Sabrina : 

Kisah ini dimulakan dengan penyesalan Zulaika terhadap kisah lalu yang menyebabkan teman karibnya, Nurain meninggalkan Zulaika. Hanya kerana seorang lelaki bernama Faizal, hubungan persahabatan mereka terputus. Kesal dan Zulaika bagaikan kehilangan sebahagian dari dirinya.

Sedihnya terubat sedikit apabila berjumpa dengan teman-teman barunya, Shazana, Maisarah dan Dalilah. Semua dengan karektor masing-masing.

Perkenalannya dengan Amar Sufian apabila mereka dipasangkan dalam satu kertas kerja membuka kisah baru pada Zulaika. Memandang Amar Sufian seakan dia memandang jelmaan dirinya sendiri. Pada awalnya Zulaika jelik dengan sikap Amar Sufian yang suka memerintah dan sering kali memungkiri janji. Namun selepas beberapa peristiwa antara mereka, akhirnya Zulaika dan Amar Sufian boleh jadi kawan baik yang berkongsi kisah suka dan duka.

Persahabatan mereka tidak lama apabila Amar Sufian menghilangkan diri. Sekali lagi Zulaika bagaikan kehilangan sayapnya. Kehadiran Mohd Yusrizal Rivera menyerikan kembali hidup Zulaika namun ingatannya masih kuat pada Amar Sufian.

Setelah sekian lama Amar Sufian muncul, dan teman lama Zulaika, Nurain juga muncul. Persahabatan yang terputus kembali termetrai. Namun ada kelainannya, kerana sahabatnya itu tunangan Amar Sufian. Amar Sufian jujur meluahkan rasa hatinya pada Zulaika dan Zulaika juga turut ada rasa yang sama. Kisah lalu berulang kembali? Antara cinta dan persahabatan, mana satu pilihan Zulaika?

Komen Ain Sabrina : 

Kisah antara persahabatan dengan cinta selalu dijadikan tema novel mahupun tema cerita wayang mahupun drama. Namun ada kelainan dalam kisah Soalnya Hati walaupun mengangkat tema yang sama. Kisah Soalnya Hati lebih mengangkat teama persahabatan itu sendiri. Kisah antara Zulaika dengan Amar Sufian lebih terarah kepada persahabatan, hingga ke pengakhirannya walaupun status mereka dah berubah, namun perhubungan persahabatan anatara mereka masih utuh. Bak kata satu pepatah cinta- dari persahabatan boleh bertukar kepada cinta namun daripada cinta sukar sekali bertukar menjadi persahabatan. Dari hubungan cinta boleh berubah terus kepada benci kerana sempadan antara rasa cinta dan rasa benci terlalu dekat.

Saya suka persahabatan yang wujud antara Zulaika dengan teman-temannya, Shazana, Maisarah dan Dalila. Walaupun Zulaika menyimpan rahsia kisahnya dengan Nurain dan karektor Zulaika agak berlainan dibandingkan dengan mereka, mereka tetap sahabat sejati, yang ada pada waktu susah dan senang.

Saya juga suka persahabatan yang wujud antara Zulaika dengan Amar Sufian. Mereka boleh berkongsi kisah dan mereka seakan faham dengan kekurangan masing-masing. Kisah persahabatan antara Zulaika dengan Nurain kurang dihuraikan membuatkan saya lebih memandang Shazana dan Maisarah sebagai teman sejati Zulaika.

Watak Zulaika dihuraikan sebagai seoarang yang bijak pandai. Pakej Zulaika lebih kepada pemikirannya bukan kerana paras rupa. Juga diceritakan Amar Sufian dan Yusrizal tertarik pada Zulaika kerana pemikirannya bukan kerana paras muka. Dan kerana itu, saya tabik hormat pada watak Zulaika. Saya kurang minat pada watak heroin yang hanya berlandaskan paras muka.


Secara keseluruhannya, saya suka dengan novel ini kerana jalan ceritanya dengan tema persahabatannya juga watak heroin itu sendiri.


0 pengomen:


ainsabrina mencabar dirinya sendiri.
Related Posts with Thumbnails