Tajuk buku : Kebaya Tales
Penulis : Lee Su Kim
Keluaran : Marshall Cavendish
Halaman : 178 m/s
Ulasan Ain Sabrina :
Kebaya Tales adalah kombinasi kisah-kisah yang berlaku di dalam masyarat Baba & Nyonya.
Di awal muka surat buku ini, penulis menceritakan tentang keturunan baba nyonya nya di mana bapa penulis adalah baba dari Melaka dan ibunya adalah nyonya dari Pulau Pinang. Kombinasi dari 2 negeri menjadikan penulis rapat dengan kisah-kisah juga warisan baba&nyonya.
Kemudian, penulis ada membuat beberapa pendahuluan dengan mengenalkan kepada pembaca apa itu baba & nyonya sebenarnya. Juga diceritakan budaya dan warisan baba&nyonya yang berlainan dengan kaum cina mahupun kaum melayu. Ini kerana baba&nyonya ini adalah kombinasi 2 kaum itu yang membawa kepada satu budaya yang unik.
Selepas itu, penulis mengarapkan 13 kisah pendek yang memperihalkan kisah-kisah fiksyen yang bersangkut-paut dengan masyarakat baba&nyonya. Ada kisah perkahwinan baba & nyonya yang juga seperti kisah perkahwinan melayu zaman dahulu dimana setiap perkahwinan diatur keluarga. Juga ada kisah perebutan harta dan juga kisah cinta. Semua kisah seakan menceritakan tentang budaya masyarakat baba&nyonya dalam cerita yang pendek dengan ayat yang mudah. Ini membuatkan pembaca seakan ‘duduk’ sekali dalam masyarakat baba&nyonya.
Di akhir setiap kisah pendek, penulis juga turut menyelitkan beberapa gambar yang berkisar tentang baba&nyonya. Ada gambar sulaman kebaya nyonya dan juga beberapa barangan yang unik kegunaan baba & nyonya. Penulis turut menyelitkan beberapa pantun mahupun kata pujangga dari baba & nyonya.
Komen Ain Sabrina :
Kebelakangan ini saya rasa tertarik untuk mengetahui lebih lanjut tentang masyarakat baba & nyonya ini. Bagi saya masyarakat baba & nyonya ini unik dan saya ingin tahu lebih banyak tentang masyarakat baba & nyonya ini. Jadi saya banyak baca artikel mengenai baba & nyonya di laman sesawang. Kebanyakkan artikelnya adalah artikel yang sama dan infonya nampak tidak realistik. Seakan artikel itu hanyalah kata-kata dari buku teks sejarah. Panjang , bosan dan infonya hanya di permukaan. Saya terus berhenti mencari sehinggalah saya terjumpa buku ini di kedai buku popular. Muka depannya menarik dan sinopsis belakangnya juga buat saya tertarik jadi saya terus ambil keputusan untuk beli buku ini, sedangkan saat itu saya tengah pegang buku lain. Memandangkan kewangan agak kurang dan hanya satu buku yang boleh dipilih, buku ini jadi pilihan saya.
Kisah-kisah pendek dalam buku ini seakan kisah-kisah melayu lama namun ini versi kisah baba & nyonya. Membaca kisah-kisah pendek membuatkan masyarakat baba & nyonya nampak realistik dan membuatkan saya rasa dekat dengan masyarakat unik ini.
Penulis mengarapkan kisah-kisah pendek ini dalam bahasa inggeris namun ada dialog-dialog dalam kisah ini yang menunjukkan keaslian masyarakat baba & nyonya itu. Contohnya dialog ini : “ umpph anak dara ta’ seronoh “(“ummph anak dara tak senonoh”). Dialognya ala-ala bahasa melayu namun ada dialek baba& nyonya.
Pantun dan kata-kata pujangga baba & nyonya yang diselitkan penulis juga sangat menarik dan unik. Ia nya juga seakan sastera bahasa melayu namun ada keunikannya tersendiri. Contoh pantun yang menarik :
“ ayam berkokok hari nak siang,
Murai bunyi pada pagi,
Sedeh hati kaseh nak pulang,
Bila kah bolih berjumpa lagi?”
Juga kata-kata punjangganya, ada yang lebih kurang sama dengan peribahasa melayu : “ kalu jodoh tak mana lari “ yang dalam peribahasa melayu kita ungkapkan seperti ini “kalau dah jodoh, tak ke mana”.
Juga ada satu lagi peribahasa yang bagi saya menarik, iaitu “ kalu mo mandi biar basah-basah” yang bermaksud ‘ jika mahu lakukan sesuatu, lakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Selepas menghabiskan buku ini, saya simpulkan masyarakat baba&nyonya ini adalah masyarakat yang unik dan budayanya menarik. Ia jadi bertambah menarik apabila saya juga sempat ke Muzium Baba & Nyonya di Melaka .
Saat itu, buku ini baru saya habiskan setengah halamannya. Melawat muzium itu seakan kisah-kisah yang saya baca ‘dihidupkan’ di muzium itu . Dan selepas melawat muzium itu, pembacaan kisah-kisah dalam buku dibayangkan dengan lebih mudah.
Bagi saya buku ini sangat menarik kerana budaya baba&nyonya itu sendiri sudah menarik hati saya. Ia seakan dunia lain yang wujud di Malaysia ini. Timbul rasa memahami juga semangat 1 Malaysia.
Seakan kena pula ulasan buku dengan hari kemerdekaan dan hari Malaysia yang akan kunjung tiba. ^^
salam 1 Malaysia (^_^)
0 pengomen:
Post a Comment