Sunday, November 27, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (42) Orang Miskin Dilarang Sekolah







Tajuk buku : Orang Miskin dilarang sekolah
Penulis :  Wiwid Prasetyo
Keluaran : Global Aksara Communication Sdn. Bhd.
Halaman : 580 m/s


Ulasan Ain Sabrina : 

Dari tajuk , sudah dapat kita imbas serba sedikit kisah dalam halaman buku ini. Kisah dimulakan dengan watak ‘aku’ , anak muda bernama Faisal , yang sudah di kelas tahun 3 di SR Kartini. Dia anak dari keluarga sederhana yang berkesempatan untuk ke sekolah. Dan dengan ilmu yang baru hijau itu , dia berimpian mengajak sahabat-sahabat yang tinggal di lading lembu untuk turut sama bersekolah. Namun jalannya tidak mudah. Mereka , Pambudi , Pepeng dan Yudi, anak miskin yang hidupnya kais pagi makan pagi , kais petang makan petang. 

Namun hati anak miskin ini dahagakan ilmu. Lalu mereka berusaha ke arah itu. Memujuk dan menyakinkan ibu dan ayah mereka dan mereka sendiri menampung perbelanjaan sekolah mereka. Walaupun miskin , akhirnya mereka berupaya sekolah , dengan baju yang lusuh dah terkoyak di celah ketiak, bergalaskan beg guni, beralaskan selipar getah yang kaki nya penuh dengan debu lumpur. Lantas mereka seringkali di pandang hina di kelas mereka. Namun tidak semua begitu, ada yang menolong , namanya Kania, gadis cilik molek yang menarik hati muda mereka. 

Turut sama diselitkan dalam novel ini , kisah penduduk-penduduk di Kampung Faisal , masih mundur dan masih percaya pada bomoh dan pawang yang hanyalah tiruan semata-mata. Juga dikisahkan tentang Faisal menjadi guru muda buat penduduk-penduduk tua di kampungnya , dia mengajar mereka mengira dan membaca. 

Diakhirkan cerita dengan kisah perjuangan dan usaha gigih mereka untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun. Dan ternyata ‘ happy ending’ apabila Faisal terpilih sebagai pelajar cemerlang. Namun pengakhiran sebenar bukan di situ kerana banyak lagi yang perlu ditempuh pelajar-pelajar SK Kartini secara amnya  dan secara khusunya buat 4 sekawan ini , Faisal, Yudi , Pambudi dan Pepeng.


Komen Ain Sabrina : 

Novel ini saya beli di saat motivasi belajar saya agak rendah. Saya tertekan dengan diri sendiri yang asyik malas jadi saya berkeputusan untuk ‘ambil angin’ di kedai buku Popular di  KB Mall. Terpandang buku ini dan tajuknya , saya dapatkan rasakan buku ini boleh menaikkan semangat belajar saya dan dalam masa yang sama mensyukuri nikmat ‘dapat belajar’ yang saya ada.

Watak Faisal patut dipuji. Disaat dia bersahabat dengan Yudi , Pepeng dan Pambudi, dia tidak terpengaruh dengan mereka malah dia yang mempengaruhi mereka. Budak-budak , semangat bermainnya kadang-kadang lebih tinggi dari semangat belajar , namun berbeza bagi Faisal malahan dia berjaya pula mengajak sahabat yang lain untuk turut belajar. Semangatnya itu bukan hanya pada sahabatnya, juga turut pada penduduk kampung , sehinggakan dia sanggup menawarkan diri menjadi pengajar buat penduduk kampung.

Watak Pambudi , Yudi , Pepeng dan Kania juga perlu dipuji. Walaupun susah , pagi perlu bekerja kemudian ke sekolah , baliknya kembali bekerja, namun mereka tegar demi mencari sesuap ilmu. Semangat mereka mencari ilmu membuatkan saya sebagai pembaca termalu sendiri. Peluang belajar sudah ada di depan mata , duit tidak perlu berusaha atau meminta-minta kerana biasiswa sudah diberi kerajaan , jadi apa lagi masalahnya – hanya kuatkan tekad , belajar dan belajar. Namun saya ini , asyik melayan emosi dan rasa malas sahaja. Kecewa dengan diri sendiri pabila melihat semangat anak-anak miskin ini.

Dan kita sebagai rakyat Malaysia amnya patutnya bersyukur kerana keadaan kita tidak seteruk keadaan negara jiran. Majoriti anak-anak Malaysia semuanya bersekolah , paling kurang bersekolah hingga ke sekolah rendah. Namun kenapa kita masih leka , masih tidak berusaha. Di saat rasa malas menyelubungi , kita patut muhasabah diri kembali , syukuri nikmat diberi dan teruskan berusaha.

Dan saya suka falsafah yang diterapkan dalam novel ini :

“ Jangan takut untuk berimpian besar kerana orang yang tidak punya impian bererti tidak punya cita-cita dan masa depan “


Ain : Cabaran 50 Buku : (41) Kemilau Mutiara Raudhah







Tajuk buku : Kemilau Mutiara Raudhah
Penulis :  Saidatul Saffaa
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 616 m/s


Ulasan Ain Sabrina : 

Ia dimulakan dengan kisah Jack atau nama sebenarnya Ahmad Izzat Mubasyir  yang sudah terpesong jauh dari agama , solat bukan lagi jadi aktiviti harian malahan kelab malam jadi tumpuan. Namun sampai disitu saja kepesongannya , tidak sampai air syaitan diteguk mahupun dibawa perempuan ke bilik tidur. Ketenangan ingin dicari lalu dia akhirnya sampai ke Pulau Selasih yang membawa lembaran baru dalam hidupnya. Di sana dipertemukan dengan hidayah untuk kembali ke jalan Allah juga dipertemukan dengan bidadari bernama Raudhah.

Raudah digambarkan sebagai gadis muslimah yang cukup ciri muslimahnya juga tidak kurang dari segi paras rupanya. Wajahnya yang saling tak tumpah seperti gadis eropah seringkali menarik hati kaum adam untuk melamarnya. Namun dia tegas soal hati dan perasaannya sehinggalah redup mata itu membuatkan dia seakan lari dari prinsip hatinya. 

Pertemuan pertama di Pulau Selasih tidak berakhir begitu sahaja. Asyik ada sambungan pertemuan sehinggakan Izzat tidak mampu lagi memendam rasa. Akhirnya kasih diluahkan namun tiada jawapan kasih dari bidadari hati. Namun siapa sangka , Allah perancang terbaik , walaupun seakan tiada pilihan , Izzat adalah pilihan terbaik buat Raudhah, begitu juga sebaliknya. 

Hubungan halal sudah terjalin namun seakan ada sengketa yang masih belum pulih. Hubungan mereka dingin. Raudhah yang degil dan sukar memaafkan  menjerutkan lagi perasaan Izzat. Sehinggalah satu peristiwa buruk berlaku yang menyedarkan Raudhah. Namun saat dia tersedar , Izzat sudah pergi demi mengejar niat menjadi syahid fisabilillah. 


Komen Ain Sabrina : 

Cerita ini banyak latar belakangnya , dari Malaysia ke Scotland , juga ke Palestin dan Israel. Terkesima saya memikirkan betapa jauhnya pengalaman penulis sehingga dia boleh menulis cerita dengan latar belakang begini.

Kisah ini seakan kisah klise ,namun tetap saya suka. Klise bagi saya , adalah dari awal saya dapat kesan tunang Izzat itu adalah Raudhah dan begitu juga sebaliknya. Namun, kejutannya masih jelas dan ada , saat mereka mahu dinikahkan. Ada rasa kurang pasti di situ, risau pengantin lelaki bagi Raudhah adalah orang lain. ^^

Disaat Izzat menunggu Raudhah 2 tahun dan juga kisah kedinginan Raudhah terhadap Izzat selepas perkahwinan menginggatkan saya dengan kisah Adam & Hawa karya Aisya Sofea keluaran Alaf 21. Walaupun penantian Izzat tidak sehebat Adam , namun iras-iras nya masih ada. Dan kerana iras itu , saya seakan geram sangat dengan watak Raudhah yang agak degil. Watak Izzat ternyata nampak ‘charming’ di situ. Kesabaran Izzat membuatkan kita sebagai pembaca turut jatuh hati. 

Watak Raudhah digambarkan sebagai gadis yang cantik dalam dan luar. Kecantikan luarnya digambarkan sebagai gadis eropah bermata hijau. Kecantikan luarannya nampak terlalu tinggi sehinggakan saya sebagai pembaca terasa sukar ‘to be in her shoes’. Wataknya saya bayangkan sebagai satu watak puteri dalam cerita –cerita dogeng. Cantik , mempersonakan tetapi ‘untouchable’ . 

Selama penantian Izzat selama 2 tahun diisikan dengan perubahan diri Izzat menjadi yang lebih baik. Tetapi sayang , penulis tidak mengambarkan bagaimana dan apakah yang dilakukan oleh Izzat untuk berubah. Hanya diilustrasikan perubahannya disaat Izzat mendengar bacaan Al-Quran Raudhah. Akan lebih manis jika diilustrasikan dengan lebih jelas bagaimana ia berlaku , kerana ia turut boleh memberi inspirasi buat pembaca untuk turut juga berubah menjadi lebih baik sepertimana penulisan Hlovate.

Ain : Cabaran 50 Buku : (40) Arjuna Mencari Cinta




Tajuk buku : Arjuna Mencari Cinta
Penulis :  Adlinz Alexandria
Keluaran : Jemari Seni Adiwarna
Halaman : 345 m/s


Ulasan Ain Sabrina :

Kisah ini berlatarbelakang zaman persekolahan dan menjadikan ia lebih menarik ia berlatarbelakangkan pelajar-pelajar sekolah agama. Dikisahnya pada awalnya kisah persediaan pelajar-pelajar tingkatan 5 untuk menghadapi SPM. Dalam pada persediaan itu , Nejad turut mengalas tanggungjawab sebagai ketua pelajar. Dia dibelenggu masalah-masalah sekolah dan salah satunya masalah adalah Nur Dalilah. 

Nur Dalilah , pelajar baru yang dilantik melalui undi untuk menjadi  AJK Tertinggi Majlis Perwakilan Sekolah, yang memberontak apabila dipaksa menjadi ketua disiplin. Perdebatan seringkali berlaku sehinggakan akhirnya Nur Dalilah mengambil keputusan untuk mengalas tanggungjawab itu.

Watak  Nejad yang berwibawa membuatkan ramai pelajar perempuan terpikat antaranya Siti Ezrina , penolong Ketua pengawas yang Nejad anggap sebagai TTM (teman tapi mesra). Namun siapa sangka , gadis pujaan ramai Vilma Faira , turut sama terpikat. Dari email , ke telefon bimbit hingga akhirnya mereka berani bersua muka. Nejad seakan lupa dengan tanggungjawabnya hanyut bersama kasih buat Vilma Faira.

Siapa sangka , kasih yang disangka ikhlas , ada niat buruk di sampingnya. Bagi Vilma Faira , ada dendam yang perlu dia tunaikan buat Nejad. Azamnya biar Nejad jatuh tersungkur. Siti Ezrina yang mengetahui cuba menyelamatkan keadaan.

Semuanya sudah terlambat , di saat kebenaran itu sampai , Nejad sudah hilang kawan , sudah hilang kewibaannya dan sudah tersasar jauh. Pencapaiannya dalam SPM ternyata tersasar jauh , terkesima , lama dia membawa diri. Sehinggalah tiba-tiba , Nur Dalilah muncul dalam ingatan dan Nur Dalilah dijadikan semangat untuk kembali ke jalan kejayaan.


Komen Ain Sabrina : 

Kisahnya mudah , saya boleh habiskan novel ini dalam masa setengah hari. Kisahnya yang berlatarbelakangkan zaman persekolah boleh membuatkan pembaca terimbau zaman persekolahan masing-masing. 

Saya suka watak Nur Dalilah. Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang tidak senang , namun semangat belajarnya harus dipuji. Juga semangatnya turut dia turunkan buat sahabat-sahabat yang berdekatan antaranya Nejad. Kata-kata yang keluar dari mulut Siti Dalilah juga menunjukkan kematangannya. 

“ Tuhan bukan macam manusia , selalu nak tunaikan apa saja hasrat orang yang disayangi secara membabi buta. Ustazah aku pernah beritahu , kegagalan juga salah satu bentuk kasih sayang Allah pada kita. Orang yang tak pernah gagaltentu tak tahu erti sebenar kejayaan. Bayangkan kalau di dunia ini hanya ada matahari. Tentu kita tak tahu bagaimana rupa bulan. kalau tidak ada neraka, tentu tidak ada syurga. Tentu ada hikmahnya engkau dapat keputusan yang tidak cemerlang. “ – Nasihat Nur Dalilah buat Nejad-


Watak-watak lain seperti Nejad dan SitI Ezrina , adalah watak biasa pelajar sekolah. Ada keinginan untuk mencintai dan dicintai sedangkan usia masih hijau. Cinta di zaman sekolah adalah cinta monyet semata-mata. Kebanyakkannya tahu tetapi sengaja butakan hati hanya kerana ingin melayan rasa hati itu. Dan terbukti dalam novel ini ,bahana cinta monyet itu. Kecewanya sehinggakan peperiksaan terjejas teruk dan kesannya sehinggakan putus kawan dan cederakan orang. Semua antara kita ada pendapat dan pengalaman masing-masing , yang pasti salah satu mengakui cinta monyet ini adalah cinta sia-sia.

Dan watak Sufi , sahabat Nejad patut dipuji. Dia berusaha menyedarkan sahabatnya walaupun hasilnya tidak menjadi , usaha itu patut dipuji. Sahabat , ikatannya lebih utuh selepas pertelingakan dan kesatuan bersama di kala susah mahupun senang.

Usaha Nejad untuk berjaya selepas kecundang juga boleh dipuji. Bukan mudah untuk kembali bangkit selapas kegagalan. Ia lebih sukar apabila sahabat-sahabat sekeliling sudah berjaya ke menara gading sedangkan kita masih di takuk lama. Ia perlukan keazaman dan kekuatan yang tinggi. Itu yang ada dalam diri Nejad dan turut dibantu sahabat yang seringkali memberi semangat, Siti Dalilah.

Tuesday, November 15, 2011

Waraskah kita?

Assalamualaikum

kini di psychiatric posting atau dalam bahasa pasarnya atau kasarnya dipanggil - sakit jiwa

berada di posting ini membuatkan saya banyak berfikir.

membuatkan saya bersyukur dilahirkan sebagai Ain Sabrina (^_^)

rasa bersyukur itu seringkali terdetik sepanjang jadi medical student sebenarnya, masuk wad seringkali melihat orang sakit , membuatkan kita syukur dengan nikmat sihat yang diberi Allah.

namun pabila melihat patient2 di wad 5 ( wad sakit mental ) , rasa itu timbul lagi.
ada rasa yang lain melihat ujian sebegini diterima mereka.
ujian sakit dan juga ujian dari masyarakat itu sendiri.

saya buka kisah seorang pesakit yang saya jumpa di wad.

Kak S , mula-mula saya masuk ke wad , saya hampir-hampir ingatkan dia relatives patient.
berpakaian cantik , berlipstik dan menegur kami dengan ramah sebaik saja kami masuk ke wad  --> ya itu karektor pesakit manic sebenarnya. dan dari awal kami sudah dapat mengagak penyakitnya.

karektornya amat ramah !!
sibuk men promote kami dengan barang-barang MLM , hinggakan 'memaksa' seorang kawan saya memakai lipstik yang dia promote ^ ^

ambitious !! itu lagi satu karektornya. bersemangat waja namun sayang semangat itu selalunya hanya jelas semasa mereka manic !
 

bila kami bersembang lama , satu lagi yang satu ketahui. dia bukan calang-calang orang. resultnya untuk setiap exam besar (Penilaian darjah 5 , SRP ,SPM) semuanya amat mengangumkan. cita-citanya juga tinggi namun sayang tidak kesampaian kerana ujian ini datang di saat dia menghadapi STPM.

Setelah ujian penyakit ini datang , ujian hubungan keluarga pula timbul. ahli keluarga mula menjauh di saat dia paling memerlukan support dari keluarga  =(

namun siapa saya untuk menilai keperibadian ahli keluarga Kak S. Mungkin bagi mereka sendiri , ini juga satu ujian.


itu ujian ALLAH buat Kak S.

yang juga sebagai ujian buat orang sekeliling dia, kita yang waras.

ujian buat kita --> menerima mereka atau menghina mereka --> pilihan itu kita yang buat.

fikirlah , mereka tidak pinta jadi begitu . mereka tidak pinta ujian ini.

dan kita sebagai orang yang waras , patutnya lebih pandai berfikir dan lebih pandai mensyukuri nikmatNYA berbanding mereka.

waraskah kita ?

moga kita bersyukur dan menghargai nikmat sihat kita (^_^)

Monday, November 14, 2011

5th day as Korean : Itaewon

Assalamualaikum..


back to KOREA TRIP !!

*mood nak menaip tinggi , tapi asyik di 'downgrade' disebabkan internet yang slow bangat di u*

still on our 5th day ^^

dari Insadong kami ke Itaewon ,

itaewon ini adalah satu lagi street yang famous di Korea , sampaikan ada satu pepatah lawak di Korea pernah kata : " international residents may not know Seoul, but they know Itaewon. "

sebabnya itaewon ini tempat tumpuan foreigner , jalan-jalan di sini, kita akan jumpa foreigner lebih banyak daripada rakyat tempatan Korea itu sendiri.
jalan je jumpa orang putih , jalan je jumpa orang gelap --> kesimpulan nak cakap : itaewon ni tempat-tempat tumpuan foreigner yang menetap atau datang ke Korea.
sampaikan berjalan di situ seakan berjalan di seluruh dunia , tak nampak bayang korea pun except for perkataan2 korea yang tertayang la kan ^^

what make itaewon more interesting..

sebabnya kami jumpa ni

SEOUL CENTRAL MOSQUE

SEOUL CENTRAL MOSQUE


sementara nak jumpa pintu depan ini

pintu depan ke Masjid


kami sesat larat , bertanya orang sekeliling , dan akhirnya jumpa (^_^)
klu yang saya boleh bagi - masjid ini terletak di atas bukit ..
naik bukit dan naik bukit --> penat +letih --> akhirnya jumpa

halfway to the mosque


rasa heaven yang amat bila dapat ambik wudu' dan solat dengan proper..

proper wudu' (^_^)


memandangkan berhari-hari di Korea -
bila ambik wudu' di tandas awam - asyik kena jeling / marah oleh makcik cleaner
bila solat di tanah lapang @ anyplace - kena tengok semacam ja dengan orang sekeliling
biarkan , kerana mereka tidak memahami (^ ^)

selesai solat , kami telek-telek interior masjid ini..




dan belek-belek al-quran yang ada , lalu terjumpa ini




tafsir al-quran with korean languange translation

islam itu universal

menarik !!! ada satu perasaan halus yang datang bila tengok tafsir itu , tak boleh nak describekan macam mana perasaan itu. =)

 then, kami jalan-jalan di kawasan berdekatan masjid..




ada beberapa kemudahan yang kami jumpa untuk muslim di sini


jumpa sekolah @ tadika ini



jumpa kedai yang menjual daging-daging yang disembelih secara halal dan juga kedai runcit yang menjual barang halal



dan lastly of course , jumpa restoran makanan halal !!

one more thing , to be happy about ^^

muka bahagia jumpa nasi



this is our dishes :

BEFORE


after : LICIN !!


cost us 16,000 won - don't ever convert it to RM , it will be really really expensive  ($_$)


solat sudah , perut dah kenyang, so kami pun round street di itaewon.


dan 2 orang kawan saya , sempat shopping sakan , beli beg +++ ( saya tak !! kedekut punya pasal , ada sedikit rasa menyesal sebab tak beli huhu)
 so beg di itaewon , agak cantik dan agak murah , so boleh la nak shopping beg di sini ^^

one more thing , dalam map ada tertulis di Itaewon ada Malaysian street , but kami menilau-nilau dan mencari , dan kesudahnya kami tak terjumpa any trace of it..so kalau korang ada kesempatan datang sini , boleh la meneruskan perncarian kami yang tak berkesudahan ^ ^


that's all for today


ppppp/ssss : 2morrow , new 'posting' - will be in psychiatric posting for 2 weeks only !! and then exam AGAIN !!! pray and wish me the best !!! thanks guys for everthing (^_^)


JUMPA LAGI NANTI !!

Friday, November 11, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (39) Anda bertanya Ustaz Azhar Idrus menjawab berkenaan permasalahan semasa





Tajuk buku : Anda bertanya Ustaz Azhar Idrus menjawab berkenaan permasalahan semasa
Penulis : Ustaz Azhar Idrus
Keluaran : PTS
Halaman : 180 m/s


Ulasan Ain Sabrina :

Seperti mana tajuknya , buku ini membicarakan persoalan yang sering dibangkitkan dalam masyarakat kita. Persoalan-persoalan ini dikumpulkan Ustaz Azhar Idrus dan disusun secara menarik. Jawapan yang diberi mudah difahami umum dan Ustaz Azhar turut menulis di mana sumber fikhnya di sudut bawah jawapannya.

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan dari semudah-mudah hukum mengenai adab hinggalah ke peraturan wajib mengenai mandi wajib juga solat dibicarakan secara ringkas dan tersusun dalam buku ini.

Setiap persoalan Ustaz Azhar telah susun dalam beberapa kategori. Kategori-kategori yang terdapat adalah persoalan dari segi Taharah , Wuduk , Solat ,Puasa , Zakat , Haji , Umrah , Aurat , Jual Beli , Nikah kahwin , Alquran , Halal haram dan juga mengenai isu semasa. Semua dihuraikan secara mudah. Secara umumnya , kebanyakkan persoalan ini memang diketahui berlegar dalam pemikiran masyarakat , namun jawapan yang kita terima hanya dari mulut ke mulut, tiada bukti dalam bentuk cetakan. Jadi dengan adanya buku ini , orang umum seperti saya sendiri mudah membuat rujukan.

Jadi pada pendapat saya, setiap muslim mahupun muslimah , patut dapatkan buku ini sebagai panduan kepada kita dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh tanda tanya hukum hakamnya.

Ain : Cabaran 50 Buku : (38) Sukma Rindu





Tajuk buku : Sukma Rindu
Penulis : Fariza Zuliani
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 312  m/s


Ulasan Ain Sabrina :

Kisahnya bermula dengan pertemuan Dianza dengan Azril di suatu acara sukan dimana Dianza wakil bola jaring dan Azril pemain ragbi. Kebetulan yang mempertemukan mereka itu menjadi mereka sahabat baik. Bagi Azril, perasaan dia buat Dianza bukan hanya kawan biasa namun lebih dari itu. Dia meluahkan rasa namun secara baik Dianza menolak. Bagi dia mereka hanya kawan biasa.

Di universiti , Dianza dipertemukan pula dengan dengan Fredie. Mereka dipertemukan apabila mereka diberi tanggungjawab untuk menguruskan satu program masyarakat. Ini menyebabkan mereka seringkali perlu berjumpa yang membibitkan rasa antara mereka berdua. Namun tidak mudah bagi lelaki seperti Fredie meluahkan rasa. Jadi rasa itu mereka sama-sama simpan. Namun pertemuan Fredie dengan Azril , membibitkan rasa cemburu dalam hati Fredie. Lalu Fredie dan Dianza, membicarakan dengan serius bicara hati masing-masing dan mereka bersepakat untuk berlagak biasa selepas ini dan cuba melupakan rasa hati masing-masing.

Di saat Dianza menghadapi masalah hati dengan Fredie , Azril dipertemukan kembali dengan Tania. Di saat Tania kembali dengan imej baru , imej bertudung. Pertemuan demi pertemuan menjadikan mereka berdua rapat dan akhirnya dari status sahabat ke status tunangan orang. Di saat bahagia baru menjelma , Azril dikejutkan dengan berita yang dia mempunyai ketumbuhan di otak. Akhirnya hubungan pertunangan yang baru terbina , diputuskan. Kecewa , akhirnya Tania membawa diri jauh ke Australia.

Zaman universiti akhirnya berakhirnya , memulakan kisah di zaman pekerjaan yang menemukan kembali Dianza dengan Fredie. Rasa itu masih ada , namun tersimpan kejap dalam hati masing-masing sehinggalah hubungan persahabatan Azril dan Dianza sekali lagi mencetuskan rasa cemburu dalam hati Fredie. Dan kerana pasti dengan perasaan itu , akhirnya Fredie memulakan langkah , meluahkan rasa.


Komen Ain Sabrina :

Novel ini antara novel terawal dalam koleksi novel saya. Walaupun novel ini novel lama, novel  ini adalah antara novel yang saya masih ingat jalan ceritanya dan beberapa falsafah yang disampaikannya.
Kisahnya mudah seakan kehidupan ini juga mudah. Tiada banyak konflik. Dan Dianza , wataknya seperti seakan pasti dengan setiap keputusan yang dibuat. Saya suka watak Dianza, keputusannya pasti dan tegas, tiada berpatah balik. Contohnya, keputusan awalnya yang pasti yang Azril hanyalah sahabat di saat Azril meluahkan rasa dan keputusannya waktu dia bertekad mahu melupakan segala rasa buat Fredie pada pengakhir zaman university mereka. Dianza tegas dengan dirinya sendiri juga pada orang di sekelilingnya. Ini menyebabkan orang di sekelilingnya turut sama dengan keputusan itu. Dia seakan membina garis yang lurus membezakan hubungan persahabatan dengan hubungan percintaan itu sendiri.

Watak Azril digambarkan sebagai sahabat terbaik. Dia seakan memahami luar dan dalam Dianza. Dan dalam masa yang sama dia turut memahami hati lelaki Fredie. Walaupun dari awal lagi , Dianza mengariskan perhubungan mereka sebagai hubungan persahabatan, namun Azril masih tetap dengan rasa cintanya buat Dianza. Dan yang menariknya , dia tidak pernah memaksa Dianza, dia masih kekal di sisi sebagai sahabat Dianza.

Watak Fredie digambarkan sebagai watak yang ‘cool’ memanjang. Dia sangat mementingkan keluarganya sehinggakan dia takut memberi komitmen cinta buat Dianza. Ini menyebabkan dia lebih rela memendam rasa. Namun dia tidak berjaya menrahsiakan perasaannya apabila seringkali perasaan cemburunya mengetuk saat dia melihat perhubungan Azril dengan Dianza.

Pengakhirannya Dianza dengan Fredie, saya sebagai pembaca , saya pun tidak pasti saya puas hati atau tidak. Watak kedua-duanya baik jadi pengakhirannya dengan yang mana satu pun , saya puas hati rasanya. ^^ 



ainsabrina mencabar dirinya sendiri.
Related Posts with Thumbnails