bacalah dengan mata,nilaikanlah dengan berfikir dan hayatilah dalam hati..
Got this article from this blog http://maxchempaka.blogspot.com/2010/02/irama-cassanova-makhluk-bergelar-lelaki.html
tak berniat nak salahkan or kata pada sapa2..
just nak share je..
selamat membaca (^_^)
Irama Casanova makhluk bernama lelaki
"Tidak ada lelaki yang bakal tidak disukai perempuan.Semuanya pasti ada kecualilah lelaki itu benar-benar hodoh..," keluar kata-kata dari Cikgu Tarmidzi.
Pecah deraian gelak ketawa kami sekelas 4 Sains Makkah, mendengar candaan Cikgu Tarmidzi, cikgu Kimia kami pada waktu itu. Sedikit masa senggang antara formula kimia dan cairan berbikar-bikar di makmal ujian, diisi dengan telatah cikgu yang melihat kami mula diserang kebosanan, ada yang tidur dan ada yang memulakan aktiviti ber'gosip'.
Anak-anak teruna semuanya pada waktu itu hanya menyeringai, melihatkan belahan gigi nan tersusun putih. Maklumlah umur I6 tahun, topik tentang perempuan memang menjadi agenda hangat.Ada 'gewe' belum, siapa bakal isteri, cantik tidak budak tu dan sebagainya menjadi bualan mengisi ruang waktu.
Cikgu Tarmidzi ternyata memahami gejolak jiwa para teruna didikannya. Fitrah untuk mencintai dan dicintai sudah membenih subur di dalam sanubari.
"Fokus belajar dulu. Lepas itu, petik saja jari, sekali petik sepuluh yang datang..," Cikgu Tarmidzi mula membajai pemikiran anak didiknya.
" Anak-anak ini masih sangat hijau, masih belum kenal selok-belok terajang dunia. Mereka perlu dikenalkan mana satu kawan mahupun lawan..," itu mungkin monolog seorang cikgu yang penuh dedikasi dan memahami..
Hati Seorang Perempuan..
Setelah 8 tahun dari peristiwa itu, saya mula mampu menghadam apa yang benar-benar dimaksudkan cikgu.Pengalaman melihat dunia nyata dan menambah dari persepsi hidup insan yang jauh lebih pengalaman, jelas mencambah pemahaman saya.
Kenapa pasti semua lelaki ada yang akan menyukainya?
Jawapannya sangat subjektif.Mungkin sebab lelaki itu kacak, banyak duit, baik, berakhlak dan sebagainya.Tetapi saya senang untuk mengatakan bahawa hati seorang perempuan itu sangat lembut, 'fragile'...
Disebabkan kena marah dengan lelaki, marah bertransformasi menjadi cinta.
Hanya dari jauh mengenal, melihat, tanpa pernah berbual bicara, cinta boleh berputik.
Apatah lagi dengan perempuan yang saban hari, kebajikan, kesihatan, makan, pakai, semuanya diambil berat. Hati perempuan mana yang mampu menafikan perasaan cinta itu. Naluri fitrah itu tumbuh tanpa memberi tanda berjaga-jaga.
Sensasi riang, gembira, bahagia bermain di batin jiwa. Pemuda idaman hati sering bermain di hati, walau fizikal ribuan kilometer terpisah jaraknya.
Hanya sang hati mampu mendiagnosa apakah namanya penyakit yang bersarang hinggap di badan.Lenanya tidur terganggu, seharian tidak mencicipi makanan, tiada sang perut mengalunkan 'keroncong' dan pelbagai keluhan luaran yang mendasari penyakit yang terinfeksi dek diri.
Sungguh aneh lagi pelik perasaan itu..
Lelaki Cassanova..
Saya tidak berniat melabel siapa-siapa. Saya berbicara tentang adegan atau perilaku bak Cassanova, seorang legenda pencinta, konon-kononnya. Dikatakan Cassanova mempunyai pesona yang cukup menawan. Sesiapa yang melihatnya ditambah dengan pujuk rayu membelai yang melemahkan hati nurani perempuan, hampir sesiapa sahaja boleh diajak berselingkuh olehnya.
Sehinggakan dari beberapa sumber mengatakan anak-anak haram hasil perbuatan Cassanova sangatlah banyak. Ada yang merupakan anak haramnya sendiri, yang dia sendiri tidak kenali, dijadikan sebagai mangsa.
Itu hikayat seorang bernama Cassanova..
Saya cuma ingin mengaitkan dengan sikap sesetengah lelaki berjiwa 'Cassanova'.
Ada yang dengan mudah mengambil kesempatan..
Ada yang melambakkan kasih-sayang, perasaan, mencuri hati seorang perempuan dan ditinggalkannya..
Ada yang memerah manis madu sehingga habis dan kemudiannya dibuang nista, ditendang bak anjing nan hina..
Dan pelbagai senario aksi yang mampu kita saksikan pada akhir zaman ini..
Saya mahu meninggalkan segala yang jelas buruk dan dosa seperti zina, rogol, bersekedudukan, khalwat, berdua-duaan bak belangkas dan juga 'monggek bak kata orang Kelantan' atau ' gelek porong bak kata teman-teman Terengganu'.
Sudah terang, tidak perlu lagi bersuluh untuk benda-benda di atas.
Ada sisi lain yang perlu diperhati bersama.
Salahkah Aku?
" Jangan main-mainkan anak gadis orang!" suatu hari Mak Long berkongsi pengalaman dengan saya.
Sudah resmi kalau pulang bercuti, sama ada atas arahan mama abah atau kerelaan hati sendiri, saya pasti akan bertandang ke rumah sanak saudara terutamanya Mak Long, kakak kepada abah.Mak Long seorang ustazah lulusan Al-Azhar, baru pencen tahun kelmarin.
Bukan mahu mengaibkan sesiapa. Nasihat Mak Long itu dijuruskan kepada saya, memandangkan keletah perangai seorang sepupu saya,anak Mak Long. Orangnya baik, taat pada agama cuma ada satu sisi kehidupan yang emaknya sendiri menggelengkan kepala pusing..
Mungkin kerana perilakunya yang penuh perhatian dan mengambil-berat, ramai anak gadis yang terpikat dengannya. Dan tidaklah dia me'monggek' anak siapa-siapa, jauh sekali berdua-duaan ke Pantai Cahaya Bulan, menikmati pemandangan malam disinari purnama di sana.
Tidak..
Hanya keprihatinannya bermasalah. Suka mengambil berat..
Sikap yang baik tetapi membungakan perasaan si perempuan.Calon suami soleh gamaknya, monolog sang kalbu.
Begitulah cerita sehingga bukan satu, tetapi 3 ,4 yang menyimpan perasaan kepadanya.Ada yang sampai menangis-nangis, merengek berkehendakkan jejaka tadi, yakni sepupu saya..
Walaubagaimanapun, jejaka ini tidak pernah mengatakan YA dan juga TIDAK.Semuanya terawang-awang, tiada keputusan rasmi. Harapan membara, tidak pernah padam dan surut.
Begitulah suatu sketsa dari sebuah babak kehidupan insan.
Ini perkara lumrah dan sering terjadi kepada insan-insan biasa, yang berhajatkan kasih dan sayang, cinta dan suka..
Persoalannya sebagai seorang lelaki adalah..
"Salahkah aku?"
"Aku tidak pernah melafazkan kata-kata AKU CINTAKANMU.."
"Kita hanya kawan biasa selama ini"
Itulah melodi justifikasi seorang lelaki. Sekali pandang, memang tidak ada silapnya. Semuanya kerana perempuan yang naif.Sekali pandang...
Jawapannya..
Cinta dan perasaan suka itu lumrah. Harus berterima kasih kepada kurniaan Ilahi..
Untuk lelaki, kalau sudah tahu perempuan hatinya lembut, jadi usah dibelai dan diberi perhatian membuta-tuli, semata-mata untuk mempermainkan perasaannya.
Jangan sesekali..
Juga bukan salah kita lelaki, andainya tiba-tiba perasaan cinta itu hadir di sanubari seorang anak hawa kepada kita.Itu FITRAH namanya..
Cumanya kalau kita tidak berkehendak dan serius, KATAKAN TIDAK sahaja padanya. Bunyinya kejam tetapi itulah tonik paling mujarab untuk meredamkan kecamuk jiwa sang hawa. Parahnya lebih jika keadaan itu dibiarkan berlanjutan kerana harapan itu akan sentiasa menyala.
Lebih baik nyalanya itu DIPADAMKAN sewaktu masih kecil, sukar sekali jika sudah marak nyalaannya.Silap-silap kebakaran terjadi, dan alhasilnya lebih buruk dengan kerugian berlipat kali ganda..
Dan untuk perempuan, jangan jadi NAIF dan BODOH. Jangan sesekali membuntuti lelaki yang anda idamkan ke hulu ke hilir, mempercayainya setengah mati..Dan andai tidak pernah terdengar perkataan JUMPA MAK AYAH, KAHWIN, ANAK, terkeluar dari mulut jejaka idaman, usahlah JIWA dan RAGA dikorbankan kepada jejaka ' plastik' tadi.
Kalau berani, silakan beradab jumpa dengan mak ayah si hawa.Itu cara orang 'gentleman'..Berdada dalam memikul tanggungjawab bukan segan malu bersembunyi di belakang langsir bak pengecut pondan..
Percayalah, jika inipun si 'plastik' ini tidak mampu, manakah mungkin urusan rezeki anak, bancuh susu, tukar lampin anak jam 2,3 pagi akan menjadi pilihan hatinya. Tidak masuk dek akal..
Pesan Buat Diri dan Anda..
Pesona seorang wanita itu hebat.Boleh menjatuhkan, dan juga sebaliknya boleh menaikkan izzah seorang lelaki.
Wanita boleh menjadi seindah perhiasan dunia kurniaan Ilahi, juga wanita boleh menjadi fitnah penghancur seorang lelaki, neraka duniawi ukhrawi..
Rentak Rasulullah mampu meningkatkan jatidiri seorang Khadijah, pesona seorang Aishah Humaira'..
Melodi seorang Ali , mencipta seorang Fatimah, sang setia berjiwa perwira..
Begitu juga irama Cassanova, mencelakakan lelaki, mendurjanakan perempuan bak abdi..
Mahu bertemankan Muhammad di SYURGA atau Cassanova di NERAKA nanti, tepuklah dada, tanyalah hati...
Two months to go lub dub lub dub
5 years ago
1 pengomen:
I wish i have a good writing skill like yours. Setuju sgt2 pasal ni. Akan saya didik anak lelaki saya utk hormat hati perempuan. Hati perempuan ni terlalu lembut dan rapuh...
Post a Comment